Jumat, 21 Maret 2008

awal kesultanan buton

Awal Kesultanan Buton


Kerajaan Buton secara rasminya menjadi sebuah kerajaan Islam
pada masa pemerintahan Raja Buton ke-6, yaitu Timbang Timbangan
atau Lakilapotan atau Halu Oleo. Bagindalah yang diislamkan oleh
Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani yang datang dari
Johor. Menurut beberapa riwayat bahwa Syeikh Abdul Wahid bin
Syarif Sulaiman al-Fathani sebelum sampai di Buton pernah tinggal
di Johor. Selanjutnya bersama isterinya pindah ke Adonara (Nusa
Tenggara Timur). Kemudian beliau sekeluarga berhijrah ke Pulau
Batu Atas yang termasuk dalam pemerintahan Buton.

Di Pulau Batu Atas, Buton, Syeikh Abdul Wahid bin Syarif
Sulaiman al-Fathani bertemu Imam Pasai yang kembali dari Maluku
menuju Pasai (Aceh). Imam Pasai menganjurkan Syeikh Abdul Wahid bin
Syarif Sulaiman al-Fathani pergi ke Pulau Buton, menghadap Raja
Buton. Syeikh Abdul Wahid setuju dengan anjuran yang baik itu.
Setelah Raja Buton memeluk Islam, Baginda langsung dinobatkan
menjadi Sultan Buton oleh Syeikh Abdul Wahid pada tahun 948 H/1538 M.

Kendati demikian. pada waktu itu, masih dipertikaikan
kerana dari sumber yang lain disebutkan bahawa Syeikh Abdul
Wahid merantau dari Patani-Johor ke Buton pada tahun 1564 M. Sultan
Halu Oleo dianggap sebagai Sultan Kerajaan Islam Buton pertama,
bergelar Sultan atau Ulil Amri dan menggunakan gelar yang khusus
iaitu Sultan Qaimuddin. Maksud perkataan ini ialah Kuasa Pendiri
Agama Islam.

Dalam riwayat yang lain menyebut bahawa yang melantik Sultan
Buton yang pertama memeluk Islam, bukan Syeikh Abdul Wahid tetapi
guru beliau yang sengaja didatangkan dari Patani. Raja Halu Oleo
setelah ditabalkan sebagai Sultan Kerajaan Islam Buton pertama,
dinamakan Sultan Murhum.

Ketika diadakan Simposium Pernaskahan Nusantara Internasional
IV, 18 - 20 Julai 2000 di Pekan Baru, Riau, salah satu kertas kerja
membicarakan beberapa aspek tentang Buton, yang dibentang oleh La
Niampe, yang berasal dari Buton. Hasil wawancara saya kepadanya
adalah sebagai berikut:


1. Syeikh Abdul Wahid pertama kali sampai di Buton pada tahun 933
H/1526 M.

2. Syeikh Abdul Wahid sampai ke Buton kali kedua pada tahun 948
H/1541 M.

3. Kedatangan Syeikh Abdul Wahid yang kedua di Buton pada tahun
948 H/1541 M bersama guru beliau yang bergelar Imam Fathani. Ketika
itulah terjadi pengislaman beramai-ramai dalam lingkungan Istana
Kesultanan Buton dan sekali gus melantik Sultan Murhum sebagai
Sultan Buton pertama.


Maklumat lain, kertas kerja Susanto Zuhdi berjudul Kabanti
Kanturuna Mohelana Sebagai Sumber Sejarah Buton, menyebut bahawa
Sultan Murhum, Sultan Buton yang pertama memerintah dalam
lingkungan tahun 1491 M - 1537 M. Menurut Maia Papara Putra dalam
bukunya, Membangun dan Menghidupkan Kembali Falsafah Islam Hakiki
Dalam Lembaga Kitabullah, bahawa ``Kesultanan Buton menegakkan
syariat Islam ialah tahun 1538 Miladiyah.

Jika kita bandingkan tahun yang saya sebutkan (1564 M), dengan
tahun yang disebutkan oleh La Niampe (948 H/1541 M) dan tahun yang
disebutkan oleh Susanto Zuhdi (1537 M), bererti dalam tahun 948
H/1541 M dan tahun 1564 M, Sultan Murhum tidak menjadi Sultan Buton
lagi kerana masa beliau telah berakhir pada tahun 1537 M. Setelah
meninjau pelbagai aspek, nampaknya kedatangan Syeikh Abdul Wahid di
Buton dua kali (tahun 933 H/1526 M dan tahun 948 H/1541 M) yang
diberikan oleh La Niampe adalah lebih meyakinkan.

Yang menarik pula untuk dibahas ialah keterangan La Niampe yang
menyebut bahawa ``Kedatangan Syeikh Abdul Wahid yang kedua kali di
Buton pada tahun 948 H/1541 M itu bersama Imam Fathani mengislamkan
lingkungan Istana Buton, sekali gus melantik Sultan Murhum sebagai
Sultan Buton yang pertama. Apa sebab Sultan Buton yang pertama
itu dilantik/dinobatkan oleh Imam Fathani ? Dan apa pula sebabnya
sehingga Sultan Buton yang pertama itu bernama Sultan Murhum,
sedangkan di Patani terdapat satu kampung bernama Kampung Parit
Murhum.

Kampung Parit Murhum berdekatan dengan Kerisik, iaitu pusat
seluruh aktiviti Kesultanan Fathani Darus Salam pada zaman dahulu.
Semua yang tersebut itu sukar untuk dijawab. Apakah semuanya ini
secara kebetulan saja atau pun memang telah terjalin sejarah antara
Patani dan Buton sejak lama, yang memang belum diketahui oleh para
penyelidik.

Namun walau bagaimanapun jauh sebelum ini telah ada orang yang
menulis bahawa ada hubungan antara Patani dengan Ternate. Dan cukup
terkenal legenda bahawa orang Buton sembahyang Jumaat di
Ternate.Jika kita bandingkan dengan semua sistem pemerintahan, sama ada
yang bercorak Islam mau pun sekular, terdapat perbedaan yang
sangat mencolok dengan pemerintahan Islam Buton. Kerajaan Islam Buton
berdasarkan Martabat Tujuh. Dari kenyataan ini dapat diambil
kesimpulan bahwa kerajaan Islam Buton lebih mengutamakan ajaran
tasawuf daripada ajaran yang bercorak zahiri. Walau bagaimanapun
ajaran syariat tidak diabaikan.

Semua perundang-undangan ditulis dalam bahasa Walio menggunakan huruf
Arab, yang dinamakan Buru Wolio seperti kerajaan-kerajaan Melayu
menggunakan bahasa Melayu tulisan Melayu/Jawi. Huruf dan bahasa
tersebut selain digunakan untuk perundang-undangan, juga digunakan dalam
penulisan silsilah kesultanan, naskhah-naskah dan lain sebagainya.
Tulisan tersebut mulai tidak berfungsi lagi menjelang kemerdekaan
Indonesia 1945. Namun masyarakat buton utamnya yang bertempat tinggal dalam wilyah keraton dan yang masih merupakan keturunan para raja dan sultan buton terus memegang teguh silsila dan perundang-undangan tersebut.

Tidak ada komentar: